Ayat 1000 Dinar: Khurafat VS Tawakal

Ayat 1000 Dinar adalah salah satu ayat yang cukup popular yang sering kelihatan bergantungan dirumah ataupun premis-premis perniagaan. Ramai yang percaya ayat ini mampu menarik rezeki. Gelaran yang diberikan kepadanya sahaja sudah cukup menarik perhatian semua, dinar- mata wang emas pada zaman pertengahan.

Orang-orang yang meniaga amat suka menyimpan ayat ini dalam kereta, van niaga, kedai, warung, beg pejabat, buku akaun, dan mana-mana tempat yang mereka mahu ‘menarik’ rezeki.

Ironinya walaupun ramai yang meyakini khasiatnya namun tidak ramai yang tahu makna dan memahami penggunaan ayat ini dengan sebaiknya. Saya tidak tahu bagaimana ayat 2-3 Surah at-Thalaq ini diberikan nama ayat 1000 Dinar dan saya tidak terjumpa lagi hadis yang menyatakan khasiat kegunaannya secara khusus, harap ditunjukkan kepada saya jika saya terlepas pandang. Apa yang saya tahu Rasulullah tidak pernah menyatakan kelebihan ayat-ayat tertentu dalam al-Quran jika diamalkan akan mendatangkan keajaiban, kebaikan dan hikmat-hikmat tertentu.

Bagi ayat 2-3 Surah at-Thalaq ianya bermaksud
“..Sesiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar (2). Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan sesiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendakiNya). Sesungguhnya Allah telah menyediakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu (3)”

Bertakwa disini bermaksud tidak mencari dan meminta rezeki dengan jalan yang salah. Jampi serapah, pelaris, penangkal dan semua yang mengandungi unsur syirik hanya mendatangkan kesan bagi waktu yang singkat dan tidak akan kekal lama. Adakah kita akan puas dengan keseronokan yang sekejap dan terpaksa menanggung derita yang berkekalan?

Keyakinan kepada ayat 1000 dinar yang dapat mendatangkan rezeki juga boleh mendatangkan khurafat. Ayat ini menyuruh kita mencari rezeki dengan berusaha menggunakan tenaga fizikal dan minda dan kemudiannya bertawakal kepada Allah, bukannya berusaha dengan jampi atau ayat kemudian bertawakal kepada khasiat-khasiatnya. Ianya juga seperti merendah-rendahkan keagungan al-Quran yang hanya digunakan untuk mencari duit, menghalau hantu dan menjadi perhiasan rumah.

Memahami ayat al-Quran adalah cukup mudah dan boleh difahami oleh segenap manusia. Mari jadikan ayat 2-3 surah at-Thalaq ini sebagai panduan dan sebagai sumber kekuatan membina masyarakat bebas syirik dan khurafat.

Allahu a’lam

Comments

comments

Powered by Facebook Comments